Isnin, 4 Oktober 2010

Isu Imbuhan Bahasa Malaysia

Salam untuk semua, ketika menggunakan imbuhan awalan memper... dan akhiran kan/i, kita sering terkeliru. Penggunaan perkataan 'memperoleh' dan 'memperolehi' sering kali membuatkan pengguna buntu, dan akhirnya menggunakannya mengikut kehendak hati tanpa  mengkaji terlebih dahulu. Natijahnya, lahirlah perkataan-perkataan yang tiada dalam Kamus Dewan. Jika perkara ini berterusan, usaha untuk Memartabatkan Bahasa Malaysia, pasti akan menghadapi kecelaruan.

Terdapat perbezaan yang jelas antara penggunaan imbuhan awalan 'memper...' dan apitan 'memper...kan'. imbuhan awalan 'memper...' berfungsi membentuk kata kerja transitif daripada kata-kata lain. Contohnya, alat (KN) kepada memperalat, besar (KA) kepada memperbesar, oleh (KS) kepada memperoleh.
Apitan memper..kan pula bertugas untuk membentuk kata kerja transitif yang berasal daripada kata kerja tak transitif. Contohnya, 'berbahas' kepada 'memperbahaskan', 'berkata' kepada 'memperkatakan'.

Sekian terima kasih.

Rabu, 29 September 2010

Bahasa Pada Papan Iklan


Daripada enam papan iklan, hanya satu yang menggunakan bahasa Malaysia, satu lagi bahasa Malaysia yang telah dicemar. Papan iklan yang lain seolah-olah bukan untuk rakyat Malaysia.

Khamis, 23 September 2010

Ayat Pasif

Kita sering mendengar orang menggunakan ayat pasif dalam perbualan. Antara sebab bahasa yang kita gunakan sedap didengar adalah penggunaan ayat-ayat pasif. Namun dalam keghairahan kita mengindahkan tutur kata, tanpa disedari kita kadang-kadang silap ketika menggunakan ayat-ayat pasif, antaranya penggunaan kata ganti nama diri pertama dalam ayat pasif. Ayat yang sering digunakan, "Cadangan pembesaran masjid itu disuarakan oleh saya". Ayat pasif ini jelas salah, sebab kata ganti diri pertama dan kedua tidak boleh menerima kata kerja yang berimbuhan di- , sepatutnya kata ganti diri tersebut mesti diletakkan di hadapan kata kerja dasar (Tatabahasa Dewan). "Cadangan pembesaran masjid itu saya suarakan".

Rabu, 22 September 2010

Imbuhan Awalan Kata Kerja

Imbuhan awalan KK ada enam (Tatabahasa Dewan), termasuklah imbuhan awalan 'MeN-'. Imbuhan awalan ini akan mambentuk KK aktif, sama ada transitif atau tak transitif. Empat varian kepada imbuhan awalan ini: me-, mem-, men-, dan meng-. Namun masih ada yang menggunakan 'mer',  terutamanya untuk perkataan 'Merbahaya'. Kita perlu sedar kesilapan ini perlu dielakkan agar bahasa Malaysia terus unggul. Penggunaannya bukan setakat oleh orang biasa, tetapi sering digunakan oleh pembaca berita melalui media utama di negara kita.