Bahagian
3
Kembara
Kerjaya: Aku Orang Pejabat
Jawatan Ketua Unit, Unit
Penilaian dan Peperiksaan (UPP) di PPD merupakan jawatan yang memerlukan integriti tinggi, kerana hampir semua perkara adalah sulit dan berisiko. Kewujudan
Pusat Tanggungjawab (PTJ) untuk pengurusan kewangan adalah antara amanah yang
paling mencabar. Namun, bantuan dan sokongan daripada rakan-rakan serta staf
UPP PPD membantu aku melaksanakan tugas dengan baik. Usia di UPP PPD hanya
setahun lima bulan, aku mendapat arahan untuk berpindah ke Jemaah Nazir Cawangan
Tawau/JNCT (dahulu dikenali sebagai
Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti). Permohonan aku pada tahun 2005 dipertimbangkan
dan aku lulus temu duga yang agak mencabar. 20 Ogos 2009 aku melaporkan diri di
pejabat JNCT dan mula bertugas seminggu berikutnya.
Walaupun
hanya setahun lebih bertugas di UPP, namun banyak pengalaman dan peristiwa yang
sukar aku lupakan. Aku memang sesuai di unit tersebut sebab aku adalah antara
guru yang tidak suka kepada ‘peniruan’. Banyak juga modus operandi dan
perancangan penyelewengan dapat aku dan ‘crew’ aku patahkan. Pastinya kejayaan
itu menyebabkan aku kurang popular dalam kalangan orang yang berkiblatkan ‘Bandura’.
Banyak juga siasatan yang aku dan kawan-kawan lakukan berkaitan dengan
penyelewengan dan cubaan penyelewengan, antaranya calon duduk peperiksaan untuk
orang lain atau calon mendapat kerjasama daripada pengawas, guru dan kakitangan
sekolah untuk meniru.
Kesinambungan
proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) mengamit jiwa aku untuk menerima
jawatan sebagai Nazir sekolah pada tahun 2009. Kalau dibandingkan kedudukan dan
pangkat Ketua Unit dengan nazir biasa seperti langit dengan bumi. Namun aku
suka kepada PdP. Di UPP aku terlibat secara langsung
dengan perancangan dan pelaksanaan semua jenis peperiksaan awam, dari proses
penerimaan kertas peperiksaan sehingga menyerahkan semula skrip jawapan calon
yang telah ditanda. Pengalaman bertugas di Bilik Kebal pada Hari Raya Korban
adalah antara pengorbanan Ketika di PPD.
Di Jemaah
Nazir (JN) aku lebih santai. Aku berusaha untuk mengecilkan ‘tembok’ antara JN
dengan pihak sekolah dan guru. Prinsip aku mudah, hubungan yang rapat antara JN
dan warga sekolah membolehkan Akta Pendidikan Seksyen 118 direalisasikan.
Perjalanan
mengajar hampir Sembilan tahun murid sekolah rendah dan hampir sepuluh tahun
mengajar murid di sekolah menangah serta pengalaman mengajar Tahun 1 hingga
Tahun 6 dan Tingkatan 3 hingga Tingkatan 6, memudahkan aku untuk melaksanakan
tugas sebagai seorang nazir. Pengalaman memegang pelbagai jawatan pada
peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan, menjadi antara kelebihan aku
untuk membantu dan menasihat warga sekolah. Bukan sahaja memegang pelbagai
jawatan Kurikulum, Kokurikulum dan HEM di sekolah, aku juga antara peneraju Pusat
Kegiatan Guru (PKG) zon dan daerah. Pengalaman itu membolehkan aku dipilih
untuk menjadi Guru Sumber (sekarang dikenali sebagai Jurulatih Utama) peringkat
Negeri Sabah.
Pelbagai
pengalaman berharga aku peroleh sepanjang berada di JN. Belum genap dua tahun
perkhidmatan di JNCT aku menerima surat lantikan sebagai Ketua Nazir Cawangan
Tawau (KNCT). Walaupun berusaha untuk menolak, tetapi nasihat dan pandangan
daripada Datuk Mintrine Radin (pada masa itu Ketua Nazir Negeri Sabah), mantan
Ketua Nazir Negeri (Ketika itu beliau menjawat jawatan Timbalan Ketua Nazir
Negeri) Tn Hj. Radzi Mohd. Daud dan Mentor Nazir aku Tn. Hj. Ahmad Ibrahim
menyebabkan aku akur dan menerima lantikan tersebut.
Tidak terlalu
sukar untuk aku meneruskan legasi JNCT yang sebelum ini telah dipimpin oleh individu-individu
hebat termasuk Datuk Mary ( Mantan Timbalan Menteri Pendidikan 2), Hjh. Kee
Salmah, Hj. Hayadi Guliling, Cik Masniah Masree dan Hjh. Sharina Abdullah. Warga
JNCT pada Ketika itu juga merupakan warga kerja yang komited dan ‘mudah’
diurus.
Setelah 13 tahun 10 bulan dan 10 hari bertugas di JN aku berundur untuk selamanya. Tiada lagi tanda nama untuk aku usung bersama organisasi KPM. Mungkin terlalu awal untuk aku melabuhkan layar bahtera pelayaran, namun aku puas sebab aku sudah berusaha untuk berbakti pada semua peringkat, mungkin sebab itu aku tidak menitiskan air mata dalam ucapan terakhir aku sebagai penjawat awam pada malam 30 Jun 2022, yang dirancang dan dilaksanakan oleh JNCT dengan bantuan JN Negeri Sabah. Terima kasih kepada warga JNCT terutamanya yang bersungguh-sungguh merancang dan melaksanakan majlis pada malam tersebut. Tanpa pengetahuan, ramai juga murid aku yang turut hadir pada malam itu. Hal ini yang membuatkan aku sebak dan sedih. Penghargaan mereka tidak terjangka oleh aku. Mungkin lengok dan tarian aku tidak sama dengan orang lain dalam menjadi pendidik dan pengurus, sebab aku lebih laissez faire berbanding diktator, semua itu ada pro dan kontranya. Tetapi aku ingin menjadi diri sendiri kemanusiaan adalah keutamaan aku. Prinsip aku mudah, "mudahkan urusan orang lain, insya-Allah Allah akan mudahkan urusan kita".
... akan datang beberapa pengalaman 'hebat, ngeri dan seronok' aku sepanjang lebih 33 tahun dalam perkhidmatan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan