Rabu, 1 Mac 2023
Rabu, 22 Februari 2023
Bahagian
2
Kembara Kerjaya: Aku Masih Guru Kecil
Tamat
pengajian di universiti terkemuka tanah air, aku ditugaskan di salah sebuah sekolah yang juga terkemuka di Tawau. Di bawah pimpinan pengetua paling cemerlang sepanjang perkhdmatan
aku, Pn Zaharah Mohd Kasim merupakan pemimpin yang wajar dicontohi. Banyak
memberi bimbingan bukan sahaja kepada aku tetapi juga kepada warga sekolah.
Pertukaran pengetua mempengaruhi senario dan iklim sekolah. realiti pepatah ‘sekali
air bah sekali pantai berubah’. Namun pejuangan aku bersama pelajar perlu
diteruskan. Tanggungjawab mengajar murid yang lebih besar dan remaja memaksa
aku mengaplikasikan ilmu psikologi yang aku pelajari di maktab dan universiti.
Setelah lapan tahun bertugas di sekolah tersohor aku mengambil keputusan untuk bertukar angin ke sekolah pinggir bandar. Aku mahu berbakti dengan murid-murid B40, yang lebih memerlukan khidmat aku. Kejayaan aku dalam kurikulum, kokurikulum dan HEM di SMK Tawau tidak ada yang berani menidakkannya. Sebut subjek BM STPM pasti disinonimkan dengan aku. Kejayaan meraih beberapa gelaran dalam sukan bola sepak dan bahas ala parlimen juga sering dikaitkan dengan nama aku. Budaya menanti kehadiran murid di pintu pagar yang aku mulakan pada tahun 2001 juga akhirnya bukan sahaja menjadi ikutan, tetapi menjadi ketetapan KPM (tetapi modus operandinya berbeza, aku menanti murid untuk memastikan semua murid berada dalam keadaan kemas sebelum memasuki kawasan sekolah). Akhirnya 2007 aku beralih ke SMK Jalan Apas. Espektasi yang tinggi dalam kalangan pelajar tingkatan enam dan tingkatan lima yang aku ajar menjadikan aku teruja dan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk mereka. Apatah lagi pada ketika itu aku adalah penanda kertas BM Kertas 2 SPM. Kehadiran aku di SMKJA umpama kecil tapak tangan nyiru murid-murid tadahkan.
Baru mengorak
langkah untuk mencurahkan segala ilmu yang aku peroleh, aku mendapat tawaran
untuk menjawat jawatan Ketua Unit Penilaian dan Peperiksaan PPD Tawau. Aku akur
dengan surat arahan yang ditandatangani oleh Pengarah JPN Sabah pada tahun
2008. Tanpa temu duga aku diterima berkhidmat di PPD Tawau hanya dengan 'resume' perkhidmatan aku.
Khamis, 16 Februari 2023
Kembara Kerjaya: Aku Guru Kecil
Bahagian 1
Memulakan kerjaya perguruan seusia 23 tahun tidaklah terlalu muda. Berbekalkan keputusan Cemerlang yang diperoleh daripada maktab perguruan belum menjanjikan aku akan menjadi guru yang hebat, oleh itu aku lebih suka besikap ‘menyembunyikan kuku’ untuk memastikan aku boleh terus belajar. Apatah lagi mengajar di sekolah pedalaman pada tahun 1989 bukanlah impian kebanyakan guru. Jarak 80 km kampung kecil ini dengan rumah aku mungkin tidak terlalu jauh, namun keadaan jalanraya yang tidak elok memaksa aku untuk tinggal di perumahan guru di kawasan sekolah.
Pengalaman mengajar murid-murid sekolah rendah sangat menyeronokkan. Selain manja dan ceria, mereka juga senang dididik. Seperti mana teori Erikson, proses pembelajaran yang menyeronokkan ketika kanak-kanak pada usia/tahap ingin tahu dan perlu dikembangkan mengikut keupayaan masing-,asing (industry vs inferiority). Walaupun aku agak garang (maklum tahun pertama mengajar aku dilantik sebagai guru disiplin), namun murid masih sudi ke rumah aku, sesekali aku mengajak murid-muridku mandi sungai yang letaknya betul-betul di belakang sekolah. Sesekali berpeluang juga mandi di kolam syarikat dengan ikhsan dan kebenaran ibu bapa murid yang kebetulan pegawai yang bertanggungjawab menjaga dan menyelenggara kolam.
Menjadi
guru hebat bukanlah sukar sangat. Guru kena mengajar dan mendidik, di samping
melaksanakan tugas kurikulum, kokurikulum dan menjaga hal ehwal murid. Agak bertuah
sebab di sekolah pertama aku banyak belajar daripada kawan-kawan, kami saling
membantu dan belajar. Ilmu Pendidikan yang diajar oleh pensyarah-pensyarah
hebat di Maktab Perguruan Sandakan Sabah (MPSS), banyak membantu aku mengongsikan ilmu kepada
anak didik. Tidak hairan jika laporan Jemah Nazir Zon Tawau terhadap pengajaran
aku sangat positif pada tahun 1991. Walaupun Ketika dicerap aku mengajar subjek yang bukanlah opsyen aku, namun bimbingan daripada
kawan-kawan sangat membantu aku memperbaiki kualiti pengajaran dari semasa ke
semasa.
Persekitaran
yang positif menjadikan niat untuk berhijrah ke sekolah kawasan bandar lebih
awal tertangguh. Keakraban hubungan dengan komuniti di Brumas menjadikan aku
jatuh cinta untuk terus berbakti di kawasan pedalaman ini. Jiran-jiran umpama keluarga
sendiri, ahli masyarakat bagai saudara, menyebabkan tiada masalah yang tidak
terurai, tiada polimik yang tidak terselesai. Namun hujan emas di negari orang
hujan batu di negeri sendiri, seolah-olah tidak dapat dielak, perpindahan
berlaku juga setelah genap lima tahun menabur bakti di SRK Brumas (sekarang SK
Brumas).
Mengajar
di kampung halaman sendiri adalah idaman hampir semua pendidik. November 1993,
aku melengkapkan perpindahan di sekolah yang jaraknya hanya 100 meter dari
pagar rumah arwah bapaku. Dunia aku
hanya sekolah, balik hanya untuk makan, mandi dan tidur. Hampir keseluruhan
hidup aku berada di sekolah. Tidak pernah minta perhatian apatah lagi
penghargaan. Namun keikhlasan aku tercabar dengan karenah pengurusan yang
menyeleweng. Aduan yang dihantar kepada KPPM diambil tindakan dan menyebabkan
arahan pertukaran dilaksanakan, terhadap individu bertanggungjawab. Namun
ekoran itu rasa tidak puas hati Majlis Guru Besar memaksa semua yang terlibat
dengan aduan kepada KPPM itu ditukarkan, aku adalah salah seorang mangsa yang
dipindahkan ke sekolah ketiga dalam perkhidmatan. Walaupun pasrah tetapi bahang
ketidakadilan tetap terasa hingga ke hari ini.
Terkesan
dengan ketidakadilan yang dikenakan, aku pasrah untuk melangkah keluar daripada
sekolah yang letak di sebelah rumah arwah bapa aku. kesan teraniya itu masih
terasa hingga ke hari ini. Allah itu adil, Ketika nikmat diambil, dalam masa
sama ada sesuatu yang diberikan. Setelah gagal untuk mendapatkan biasiswa
negeri untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, tawaran universiti tempatan datang
tepat pada masanya. Julai 1996 hingga oktober 1998 aku bergelar mahasitua di
Universiti Putra Malaysia.
bersambung...
Jumaat, 10 Februari 2023
Hidup pesara
Pabila kita bersara
Kurangkanlah bersuara
Sebab suara kita sudah tidak berharga
Pabila sudah bersara
Berhentilah marah-marah
Sebab tiada yang sanggup mendengarnya
Pabila kita sudah bersara
Tenang-tenaglah menghirup udara
Sebab hidup kita sudah sampai di menara
Pabila kita sdh bersara
Rajinlah berziarah sanak saudara
Pergilah berjumpa rakan-rakan semua
Sebab kita boleh bercanda mesra
Pabila kita sdh bersara
Ziarahlah rumah Allah
Sebab kita sudah hampir kepada-Nya
Pabila sudah bersara
Baru kita sedar dunia hanya sementara
Sebab pangkat dan gelaran sementara Cuma
Tiada yang peduli
Semuanya pinjaman saja
Kita sebenarnya tidak punya apa-apa di dunia…
Jun 2022
Rabu, 1 Jun 2022
Aku hanya anak seorang tukang
sapu
Berdiri memimpin, menentu hala tuju
Bersuara, membangun anak bangsa
Tanpa prajudies
Kata-kata didamba
Dulu..
duduk di belakang menguis sisa ilmu
catatan pena usang
Tika datang tanpa diundang
Hadir tidak mengoncang
Hilang tidak dicari
Meski aku serupa yang lain
Penat tidak mengenal lelah
Ruang kosong diisi penuh
Lolos juga satu kejutan
Sebab aku hanya anak seorang tukang sapu
Bandura bukan kiblat
Sebab kebahagian hanya sementara
Usaha dan doa tukang sapu bini laki
jaya digenggam tanpa culas
Meski badai kau tongkah, onak duri
direntas
Sebab….
Aku anak seorang tukang sapu
Akhirnya
Ikhlas kucari
Seribu kehendak diredah
Kemelut jiwa memaksa berhijrah mencari sang saka
Kulepas timba yg kujinjing mengejar reda di perguruan
Kutimba ilmu semaunya tanpa hela
Ku langgar
Ku redah semua yang di hadapan
Melintang patah membujur ku berlalu
Patah sayap ku tongkatkan bahu…
Usahaku bukan kepalang
Doaku bergantang-gantang
Tiada yang sanggup menghalang
Sebab aku mau cemerlang
Kugapai bintang walau di luar kemampuan
Kugenggam erat gunung tanda pencapaian
Bukan kepalang bukan alang-alang
Bakti di pedalaman pemula perjalanan
Berjaya berdikari ku pulang kepangkuan
Walau sekejap natijahnya mantap
Dibuangku di pinggir bandar sebab aku pelanggar kepada pendustaan
Perjuanggan anak bangsa dan watan jadi impian
‘aku panjat menara’
Bukan untuk menjatuhkan…
Tapi untuk aku melihat lebih jauh
Mendidik watan yang matang lebih mencabar
Pujukan dan jentikan hati kian dalam
Kepuasan melahirkan insan walau kadang menyongsong
Ingin ku berlari daripada bayang-bayang pengurusan
Tapi aku terperangkap di jabatan
Minatku kepada pengajaran mengheretku ke Jemaah Nazir
Menimba ilmu dan perkongsian sempurna
Kepuasan membina mudaris penggalak pendidikan
Hari ni aku berhenti berkongsi sebab aku sudah lama berkayuh
Kawan-kawan teruskan perjuangan walau banyak tomahan
Sebab kita bukan kerja untuk manusia
Walau memanusiakan manusia itu matlamat kita…
Aku puas walau aku tidak kaya
Aku gembira walau aku hanya seorang manusia biasa…
Semoga kuburku cerah berkat doa semua…
Aku undur sementara meniti usia sebelum ke alam abadi.
Aku anak seorang tukang sapu…
April 2022
Jumaat, 30 Julai 2021
KONSEP PENGAJARAN
DAN PEMBELAJARAN DALAM KONTEKS
PEMBELAJARAN
MODULAR MATA PELAJARAN BAHASA MELAYU
Disediakan oleh: Junadi @ Junaidi bin Riman
Jemaah Nazir Cawangan Tawau
1.0
Latar belakang
Kepelbagaian dasar yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sering kali disalah tafsir oleh warga pendidik. Konsep Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc), Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21), Kemahiran Berfikir ArasTinggi (KBAT) serta Pembelajaran Modular yang mewarnai sistem pendidikan sekarang sebenarnya sesuatu yang menarik dan indah. Namun kecairan maklumat menyebabkan guru kurang faham konsep sebenar dasar dan program Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Oleh itu, proses memberi ilmu tidak dapat difahami sepenuhnya oleh warga pendidik. Semua elemen tersebut di atas dilihat secara terpisah oleh guru-guru, mungkin disebabkan elemen ini dikendalikan oleh bahagian dan kelompok yang berbeza. Ketidakfahaman ini menyebabkan timbul tanggapan elemen-elemen ‘baharu’ tersebut menambah beban tugas guru.
2.0
Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)
Pengajaran merupakan
aktiviti yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan yang meliputi
aktiviti perancangan, pengelolaan, penyampaian, bimbingan dan penilaian. Slavin
(2005) mendefinisikan pembelajaran sebagai perubahan dalam seseorang individu
akibat daripada pengalaman. Manusia mula belajar sejak ia dilahirkan dan semua
pembelajaran ini berkait rapat dengan pengalaman.
Pembelajaran
adalah proses atau kegiatan belajar yang berlaku dalam pelbagai bentuk. Pembelajaran
melibatkan pemerolehan dan pengubahsuaian pengetahuan, kemahiran, strategi,
kepercayaan dan tingkah laku. Pembelajaran juga merupakan perubahan
tingkah laku atau kebolehan untuk menunjukkan perlakuan yang dikehendaki hasil
daripada latihan ataupun pelbagai bentuk pengalaman.
Oleh
itu, PdP adalah proses pembelajaran murid yang dirancang oleh guru untuk memastikan
kemahiran mata pelajaran disampaikan dengan pelbagai kaedah, untuk mengubah
tingkah laku murid hasil daripada latihan dan pelbagai bentuk pengalaman yang
dilalui. Ringkasnya, pengajaran merupakan proses untuk menyampai dan menyumbang
idea-idea serta memudah cara pembinaan ilmu, menentukan standard dan
menggalakkan kreativiti, membantu pelajar untuk belajar dan mencabar pelajar ke
arah pencapaian potensi optimum. Sehubungan itu, PdP merupakan lingkaran
luar yang menjadi asas kepada semua elemen pembelajaran.
3.0
Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc)
Pengajaran dan
pemudahcaraan (PdPC) merujuk kepada peranan guru ketika melaksanakan pengajaran
yang telah dirancang berdasarkan sukatan pelajaran tertentu, menggunakan
pelbagai kaedah yang dipilih dan bersesuaian dengan keupayaan murid. Keupayaan
guru memainkan peranan untuk menarik minat murid mengikuti pembelajaran dengan menggunakan
pelbagai kaedah yang menarik seterusnya dapat merangsang minat murid. Guru berperanan sebagai pemudah cara dalam pembelajaran dan
pengajaran (PdP) yang berkesan untuk memperkembangkan potensi murid secara
menyeluruh dan pencapaian murid pada tahap optimum secara berterusan.
Oleh itu, PdPc, terletak dalam lingkaran kedua selepas
PdP untuk menggambarkan peranan yang
dimainkan oleh guru sangat besar bagi memastikan proses PdP berjaya membantu
murid menguasai kemahiran yang diajar.
4.0
Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)
Pentaksiran Bilik Darjah
(PBD) adalah proses mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan,
kebolehan dan pencapaian murid sama ada secara formatif atau sumartif (2019),
menggunakan tiga medium penilaian dalam PBD, iaitu Lisan, Tulisan dan
Pemerhatian. PBD melibatkan proses mengumpul dan menganalisis maklumat serta
membuat refleksi yang berterusan terhadap PdP dalam membuat pertimbangan secara
konsisten ke arah menambah baik PdP tersebut (2013). Pentaksiran Bilik
Darjah (PBD) merupakan pentaksiran yang berterusan dalam sesi pengajaran dan
pembelajaran bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan,
kebolehan dan pencapaian murid. Guru adalah individu yang
bertanggungjawab melaksanakan PBD seterusnya mendapatkan data tahap penguasaan
murid. Berkesan atau tidak proses PdP bergantung sejauh mana guru berupaya
melaksanakan peranannya sebagai pakar rujuk dan pembimbing. Oleh itu, PBD
adalah elemen penting untuk memastikan murid menguasai dan memahami kemahiran
yang diajar oleh murid.
5.0
Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21)
Proses pembelajaran murid
yang berasaskan kepada lima elemen, iaitu Komunikasi, kolaborasi, pemikiran
Kritis, Kreativiti dan Nilai Murni dan Etika (4k + 1N).
Pembe
PAK21 bukan sahaja
berkaitan dengan penyediaan ruang fizikal kepada pembelajaran murid, tetapi
jauh lebih penting bagaimana 4K digarap dan diadun dalam proses pembelajaran
murid yang diselitkan nilai dan etika dalam setiap elemen. Contohnya cara murid
dapat berkomunikasi dengan nilai dan etika yang betul, berkolaborasi dengan
nilai dan etika yag baik, berfikiran kritis yang selaras dengan nilai dan etika
Malaysia serta murid dapat menghasilkan kerja yang kreatif sesuai dengan nilai
dan etika serta budaya Malaysia. Mengapa PAK21 berada dalam lingkaran (kawalan)
PBD? Empat unsur (Komunikasi, Kolaborasi, Pemikiran Kritis dan Kreativiti)
dalam PAK21 menjadi asas kepada pembelajaran berpusatkan murid. Guru dapat
melaksanakan pentaksiran ketika murid menjalankan aktiviti (pemerhatian),
berkomunikasi, berkolaborasi, berfikir secara kitis dan menghasilkan tugasan
atau menjawab soalan menggunakan kreativiti masing-masing (lisan dan tulisan).
6.0
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)
Kemahiran Berfikir Aras
Tinggi (KBAT) ialah keupayaan murid untuk mengaplikasikan pengetahuan,
kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan
masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu
(2014). Hal inilah yang sebenarnya
menjadi matlamat PdP. Adalah menjadi harapan KPM agar murid berupaya menguasai
KBAT melalui proses PdP yang berkesan, dengan peranan yang dimainkan oleh guru,
hasil PBD yang dilaksanakan melalui PAK21 yang dirancang dan dilaksanakan.
KBAT menyediakan ruang. untuk murid mencapai ‘profil murid’ mengikut keupayaan masing-masing. Objektif utama pembelajaran adalah penguasaan murid terhadap kemahiran yang diajar. Oleh sebab itu KBAT menjadi elemen yang perlu dikuasai oleh semua murid untuk memastikan keberjayaan satu proses PdP. Kegagalan murid mencapai dan menguasai KBAT dalam pembelajaran memungkinkan mereka tidak berjaya menguasai semua kemahiran yang disampaikan oleh guru. Oleh itu, objektif tidak akan tercapai dan melambatkan proses perkembangan murid.
7.0 Pembelajaran Modular (PM)
Pembelajaran
Modular adalah pembelajaran yang berasaskan penyampaian kurikulum secara fleksibel.
Secara ringkasnya modular membawa maksud suatu
kemahiran yang dipecahkan kepada beberapa topik kecil bagi memudahkan penyampaian
guru dan pemahaman murid. Pelaksanaan kurikulum modular ini berasaskan empat
prinsip iaitu berpusatkan murid, kesepaduan, linear / tak linear dan fleksibel.
Pelaksanaan kurikulum modular ini, dapat memberi ruang kepada para pendidik
untuk membuat penyesuaian dalam penyampaian isi pembelajaran kepada kumpulan
sasar. Dalam pembelajaran modular, guru merupakan fasilitator
kepada pelajar semasa sesi pembelajaran berbanding pembelajaran tradisional,
yang menyampaikan ilmu pengetahuan (2016). Pelaksanaan
PM dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) adalah melalui lima Modul yang mengandungi
tiga kemahiran dan dua aspek, iaitu Modul Dengar dan Tutur, Modul Bacaan, Modul
Tulisan, Modul Seni Bahasa dan Modul Tatabahasa. Pembelajaran modular
merupakan satu strategi baharu untuk mengatur pengalaman pembelajaran dalam
pendidikan dan kini strategi pembelajaran berasaskan modular diguna pakai dalam
semua tahap pembelajaran (2005).
Pembelajaran Modular BM juga mengamalkan konsep pengajaran kemahiran berfokus yang menjadi kemahiran utama untuk diajar. Pada masa yang sama kemahiran sampingan juga diajar untuk mewujudkan pembelajaran yang bervariasi bagi memastikan pembelajaran BM mencapai matlamat mata pelajaran. Pembelajaran Modular BM juga selari dengan lima strategi pembelajaran: Pengabungjalinan, Penyerapan, Penilaian, Pengayaan dan pemulihan. Kepelbagaian isi dan bentuk pelajaran yang diajar juga merupakan salah satu strategi pengajaran yang harus diketahui oleh guru (1985). Oleh itu kreativiti guru dituntut untuk memastikan PdP sentiasa menyeronokkan dan menarik minat murid.
8.0 Pendidikan Keselamatan Jalan Raya
(PKJR)
Penyerapan PKJR dalam PdP
mata pelajaran BM adalah berdasarkan objektif untuk meningkatkan pengetahuan,
kesedaran dan membudayakan keselamatan jalan raya dalam kalangan murid. PKJR
juga mengaplikasikan ilmu keselamatan jalan raya berdasarkan modul PKJR dalam
PdPc Bahasa Melayu secara optimum, serta melahirkan murid yang mahir menyerapkan
ilmu keselamatan jalan raya.
Pendidikan
ini diwujudkan berdasarkan punca kuasa Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 10/2009,
SSKPMSP 600-5/2/31 jln.2(94).
Menyarankan agar pembelajaran PKJR dilaksanakan selama 2 jam (SR), 1 jam
(SM) pada setiap bulan: satu jam dalam dua minggu terpilih yang dilaksanakna
secara berselang minggu. Kreativiti guru dituntut untuk mengajar secara serapan
mengikut kesesuaian Sukatan Pelajaran BM dan kemahiran PKJR.
Pengaplikasian
dan pembudayaan keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat menjadi
matlamat PKJR dalam jangka panjang. Oleh itu, pihak sekolah digalakkan untuk
menyediakan suasana pembelajaran PKJR di sekolah untuk memastikan murid melalui
proses pengalamian ketika belajar atau di luar waktu pembelajaran.
9.0 Pendidikan Sivik
Pengajaran Pendidikan
Sivik dijalankan di sekolah berdasarkan punca kuasa Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan
7 Tahun 2019: Pelaksanaan
Pendidikan Sivik di Peringkat Prasekolah, Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah. Dilaksanakan secara
menyisipkan kemahiran Sivik dalam PdP
mata pelajaran BM. Dijalankan secara bersepadu, holistik dan menyeluruh melalui
pelbagai cara, untuk mendorong murid ke arah pembentukan perwatakan yang
memiliki pemikiran sivik dan mengetahui hak serta tanggungjawab sebagai
warganegara dalam memberi sumbangan kepada masyarakat, negara dan global.
Pendidikan Sivik dilaksanakan dalam tempoh Satu jam dalam sebulan dan
dicadangkan pada minggu ke-4. Terdapat empat nilai dalam Pendidikan Sivik,
iaitu Kasih Sayang, Hormat-menghormati, Bertangggungjawab dan Kegembiraan, yang
perlu disisipkan ketika PdP mata pelajaran Bm dilaksanakan. Pendidikan Sivik
bertujuan untuk memberikan murid pengetahuan dan memberikan pengalaman sivik
kepada murid. Di samping itu, Pendidikan Sivik juga diharap dapat membantu
murid mengaplikasikan pemikiran dan mengamalkan sivik dalam kehidupan seharian.
Walaupun bersifat sisipan dan hanya diajar dalam tempoh
sebulan sekali, namun matlamat pembelajaran sivik adalah untuk menyediakan
warganegara yang seimbang sesuai dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Adalah menjadi harapan agar kita memiliki wagranegara yang seimbang, cemerlang
dunia dan akhirat.
10.0
Kesimpulan
Pengajaran yang dirancang
dengan baik akan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Penggunaan pelbagai
kaedah, teknik dan pendekatan dalam PdP akan memudahkan guru memainkan peranan
sebagai pakar rujuk dan pemudah cara. Perancangan yang rapi akan menjadikan
proses PdP lebih menarik dan memikat minat murid untuk mengikuti dan melibatkan
diri dalam pembelajaran. Matlmat PdP adalah untuk memastikan murid mencapai
objektif pengajaran. Objektif pengajaran hanya akan dicapai andai guru dapat
memainkan peranan yang baik sepanjang proses PdP. Kebijaksanaan guru membuat
penilaian dan pentaksiran dengan mengamalkan pembelajaran PAK21 adalah kunci
kepada keupayaan murid menguasai KBAT, seterusnya mencapai objektif
pembelajaran yang selari dengan Aspirasi Murid dalam PPPM (2012). Oleh itu
perkaitan antara lima elemen dalam pelaksanaan PdP sangat penting untuk
dikuasai oleh guru. Kelima-lima elemen ini hendaklah dilihat secara sekali dan
tidak boleh dipisah-pisahkan.
Pembelajaran Modular sewajarnya dilihat sebagai
kesinambungan kepada konsep PdP secara keseluruhan. Pembelajaran Modular mata
pelajaran BM merupakan antara proses yang paling padat dan sarat dengan
pelbagai eleman. Namun kefahaman dan kebijaksaan guru mengadun PdP akan
menjadikan pengajaran BM menarik dan menyeronokkan. Hal ini pastinya membantu
murid menguasai kemahiran yang disampaikan guru, seterusnya melahirkan insan
seimbang, selaras dengan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025, selaras
dengan FPK untuk melahirkan insan seimbang.
Rujukan
1. _______
(2012). Dokumen Standard, Kurikulum Standard
Sekolah Rendah (KSSR). Kuala Lumpur: Bahagian Pengurusan Kurikulum. KPM
2. _______(2014).Kemahiran
berfikir aras tinggi (KBAT) Aplikasi di Sekolah. Kuala Lumpur: Bahagian
pembangunan kurikulum. KPM,
3. _______(2013).Pentaksiran
KBAT. Kuala Lumpur: KPM
4. _______
(2019).Panduan Pelaksanaan PentaksiranBilik Darjah Edisi ke-2. Kuala
Lumpur:Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM
5. Awang
Sariyan. (1995). Ceritera Bahasa., Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, KPM
6. Eliza
Khamis & Nor Aishah Buang. 2016. Keberkesanan Strategi Pembelajaran
Berasaskan Modular Terhadap Pencapaian dan Sikap Pelajar Tingkatan 4 Bagi Mata
Pelajaran Perdagangan. Selangor:UKM.
7. Eow
Yee Leng. (2017). Penerapan Kemahiran 4C dan Pembudayaan Amalan PAK21 dalam
Pembelajaran dan Pemudahcaraan Matematik Tingkatan 1.
8. Jamal
Badi dan Mustapa Tajdin. (2005). Creative Thinking: An Islamic Perspective.
Kuala Lumpur: Research Center, IIUM.
9. Kamarudin
Hj. Husin.(1995).Perkaedahan Mengajar Bahasa. Kuala Lumpur. Kumpulan Budiman
Sdn. Bhd.
10. Riasat
Ali. (2005). Development And Effectiveness Of Modular Teaching In Biology At
Secondary Level. Universiti Of Arid Agriculture Rawalpindi, Pakistan.
Selasa, 22 Jun 2021
Aku, keluarga dan COVID19...
Hari ini 19 Jun 2021, genap sebulan aku dan keluarga disahkan positif COVID19, 15 hari selepas tarikh hari ini aku ‘discharge’ dari Hospital Besar Tawau (HBT) selepas disahkan selamat untuk keluar dan menjalani proses pemulihan, penyembuhan serta pengasingan COVID19.
Rasa terpilih oleh Allah untuk mengalami pengalaman ini, justeru aku kongsi bersama untuk tatapan, dan mungkin boleh dijadikan panduan.