Khamis, 13 Julai 2023

Kereta 60-an

Dulu...
jalan laju
semua aku radu
rata, bukit atau laut... 
semua aku redah

kini...
naik bukitpun aku semput
jumpa airpun aku takut
selalu ke bengkel

sampai masa...
aku rehat
bengkel seolah tidak terangkat
banyak sudah yang berkarat

tempat aku...
pusat besi buruk
menanti dimusnah
untuk dihitung semula
antara Syurga atau Neraka...


JrRiman
Julai 2023

Rabu, 24 Mei 2023

 Catatan Bambongan 

Sejarah perkhidmatan menjadi guru yang panjang meninggalkan banyak kisah suka dan duka, seronok dan sedih, namun pagi ini aku kongsikan empat amalan aku sepanjang menjadi guru :

1. Sebelum pergi ke sekolah/pejabat aku akan memulakan hariku dengan Solat Hajat sebelum melangkah keluar daripada rumah. Aku memohon agar Allah memberi aku petunjuk agar dapat mengajar/kerja  dengan cemerlang pada hari itu dan hari-hari seterusnya. Permohonan aku agar murid/kakitangan di bawah jagaan aku memahami apa-apa aku sampaikan/kongsikan.

2. Ketika memasuki bilik darjah aku akan memberi salam kepada murid (tidak seperti kebiasaan, murid akan memberi salam) sesuai dengn Hadis Nabi yang bermaksud "Hendaklah orang yang menaiki kenderaan memberi salam kepada yang berjalan kaki, orang yang berjalan kepada orang yang duduk dan orang yang sedikit kepada orang yang ramai". Dari sudut lain  memberi salam itu hukumnya sunat tetapi menjawab salam itu wajib, oleh itu aku mahu murid aku serius dan fokus ketika menjawab salam. Tersiratnya sejurus kaki guru masuk ke dalam kelas murid sudah sedia menerima ilmu.

3. Aku guru sukan,  sering keluar mengiringi budak sukan termasuk bola sepak, ping pong dan bahas, setiap kali keluar aku akan ganti kelas aku di luar waktu persekolahan. Tidak dapat penuh, sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah jam yang aku tinggalkan,

4. Budaya aku ketika menjadi guru kelas adalah sambutan hari kelahiran untuk semua murid aku. Sebelum mengajar aku akan panggil murid yang 'birthday' pada hari tersebut untuk buat ucapan sekurang-kurangnya dua minit di hadapan bilik darjah. Salah satu isi wajib dalam ucapan adalah 'Siapa aku 10 tahun akan datang'. Pada aku ini adalah aktiviti yang paling berkesan untuk menjentik hati murid aku. Sering kali aku menyaksikan air mata murid mengalir setiap kali berucap. Antara ucapan pembukaan yang paling popular adalah ..." setelah 18 tahun lahir di dunia, ini adalah kali pertama hari lahir saya disambut..." 

Empat aktiviti ini adalah rutin aku sepanjang menjadi penjawat awam. tetapi ada beberapa rutin yang aku teruskan walaupun aku sudah 'bambong', sebab alah bisa tegal biasa.

Sebagai guru kita hanya berusaha untuk memastikan murid yang kita ajar akan menjadi manusia dan berjaya, berjaya tidak bermaksud memaksa murid untuk mendapat A bagi semua mata pelajaran. Paling penting mereka boleh menjadi insan seimbang sesuai dengan FPK.


Guru tugasnya memanusiakan manusia bukan meluluskan murid.


Jumaat, 31 Mac 2023

 

Bahagian 3

Kembara Kerjaya: Aku Orang Pejabat

Jawatan Ketua Unit, Unit Penilaian dan Peperiksaan (UPP) di PPD merupakan jawatan yang memerlukan integriti tinggi, kerana hampir semua perkara adalah sulit dan berisiko. Kewujudan Pusat Tanggungjawab (PTJ) untuk pengurusan kewangan adalah antara amanah yang paling mencabar. Namun, bantuan dan sokongan daripada rakan-rakan serta staf UPP PPD membantu aku melaksanakan tugas dengan baik. Usia di UPP PPD hanya setahun lima bulan, aku mendapat arahan untuk berpindah ke Jemaah Nazir Cawangan Tawau/JNCT (dahulu dikenali sebagai Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti). Permohonan aku pada tahun 2005 dipertimbangkan dan aku lulus temu duga yang agak mencabar. 20 Ogos 2009 aku melaporkan diri di pejabat JNCT dan mula bertugas seminggu berikutnya.

Walaupun hanya setahun lebih bertugas di UPP, namun banyak pengalaman dan peristiwa yang sukar aku lupakan. Aku memang sesuai di unit tersebut sebab aku adalah antara guru yang tidak suka kepada ‘peniruan’. Banyak juga modus operandi dan perancangan penyelewengan dapat aku dan ‘crew’ aku patahkan. Pastinya kejayaan itu menyebabkan aku kurang popular dalam kalangan orang yang berkiblatkan ‘Bandura’. Banyak juga siasatan yang aku dan kawan-kawan lakukan berkaitan dengan penyelewengan dan cubaan penyelewengan, antaranya calon duduk peperiksaan untuk orang lain atau calon mendapat kerjasama daripada pengawas, guru dan kakitangan sekolah untuk meniru.

Kesinambungan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) mengamit jiwa aku untuk menerima jawatan sebagai Nazir sekolah pada tahun 2009. Kalau dibandingkan kedudukan dan pangkat Ketua Unit dengan nazir biasa seperti langit dengan bumi. Namun aku suka kepada PdP. Di UPP aku terlibat secara langsung dengan perancangan dan pelaksanaan semua jenis peperiksaan awam, dari proses penerimaan kertas peperiksaan sehingga menyerahkan semula skrip jawapan calon yang telah ditanda. Pengalaman bertugas di Bilik Kebal pada Hari Raya Korban adalah antara pengorbanan Ketika di PPD.

Di Jemaah Nazir (JN) aku lebih santai. Aku berusaha untuk mengecilkan ‘tembok’ antara JN dengan pihak sekolah dan guru. Prinsip aku mudah, hubungan yang rapat antara JN dan warga sekolah membolehkan Akta Pendidikan Seksyen 118 direalisasikan.

Perjalanan mengajar hampir Sembilan tahun murid sekolah rendah dan hampir sepuluh tahun mengajar murid di sekolah menangah serta pengalaman mengajar Tahun 1 hingga Tahun 6 dan Tingkatan 3 hingga Tingkatan 6, memudahkan aku untuk melaksanakan tugas sebagai seorang nazir. Pengalaman memegang pelbagai jawatan pada peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan, menjadi antara kelebihan aku untuk membantu dan menasihat warga sekolah. Bukan sahaja memegang pelbagai jawatan Kurikulum, Kokurikulum dan HEM di sekolah, aku juga antara peneraju Pusat Kegiatan Guru (PKG) zon dan daerah. Pengalaman itu membolehkan aku dipilih untuk menjadi Guru Sumber (sekarang dikenali sebagai Jurulatih Utama) peringkat Negeri Sabah.

Pelbagai pengalaman berharga aku peroleh sepanjang berada di JN. Belum genap dua tahun perkhidmatan di JNCT aku menerima surat lantikan sebagai Ketua Nazir Cawangan Tawau (KNCT). Walaupun berusaha untuk menolak, tetapi nasihat dan pandangan daripada Datuk Mintrine Radin (pada masa itu Ketua Nazir Negeri Sabah), mantan Ketua Nazir Negeri (Ketika itu beliau menjawat jawatan Timbalan Ketua Nazir Negeri) Tn Hj. Radzi Mohd. Daud dan Mentor Nazir aku Tn. Hj. Ahmad Ibrahim menyebabkan aku akur dan menerima lantikan tersebut.

Tidak terlalu sukar untuk aku meneruskan legasi JNCT yang sebelum ini telah dipimpin oleh individu-individu hebat termasuk Datuk Mary ( Mantan Timbalan Menteri Pendidikan 2), Hjh. Kee Salmah, Hj. Hayadi Guliling, Cik Masniah Masree dan Hjh. Sharina Abdullah. Warga JNCT pada Ketika itu juga merupakan warga kerja yang komited dan ‘mudah’ diurus. 

Setelah 13 tahun 10 bulan dan 10 hari bertugas di JN aku berundur untuk selamanya. Tiada lagi tanda nama untuk aku usung bersama organisasi KPM. Mungkin terlalu awal untuk aku melabuhkan layar bahtera pelayaran, namun aku puas sebab aku sudah berusaha untuk berbakti pada semua peringkat, mungkin sebab itu aku tidak menitiskan air mata dalam ucapan terakhir aku sebagai penjawat awam pada malam 30 Jun 2022, yang dirancang dan dilaksanakan oleh JNCT dengan bantuan JN Negeri Sabah. Terima kasih kepada warga JNCT terutamanya yang bersungguh-sungguh merancang dan melaksanakan majlis pada malam tersebut. Tanpa pengetahuan, ramai juga murid aku yang turut hadir pada malam itu. Hal ini yang membuatkan aku sebak dan sedih. Penghargaan mereka tidak terjangka oleh aku. Mungkin lengok dan tarian aku tidak sama dengan orang lain dalam menjadi pendidik dan pengurus, sebab aku lebih laissez faire berbanding diktator, semua itu ada pro dan kontranya. Tetapi aku ingin menjadi diri sendiri kemanusiaan adalah keutamaan aku. Prinsip aku mudah, "mudahkan urusan orang lain, insya-Allah Allah akan mudahkan urusan kita".

... akan datang beberapa pengalaman 'hebat, ngeri dan seronok' aku sepanjang lebih 33 tahun dalam perkhidmatan...

Rabu, 1 Mac 2023


Kerjaya di tiga buah sekolah rendah dan dua buah sekolah menengah, 
 Januari 1989 hingga  Mac 2008

Rabu, 22 Februari 2023

 

Bahagian 2

Kembara Kerjaya: Aku Masih Guru Kecil

Tamat pengajian di universiti terkemuka tanah air, aku ditugaskan di salah sebuah sekolah yang juga terkemuka di Tawau. Di bawah pimpinan pengetua paling cemerlang sepanjang perkhdmatan aku, Pn Zaharah Mohd Kasim merupakan pemimpin yang wajar dicontohi. Banyak memberi bimbingan bukan sahaja kepada aku tetapi juga kepada warga sekolah. Pertukaran pengetua mempengaruhi senario dan iklim sekolah. realiti pepatah ‘sekali air bah sekali pantai berubah’. Namun pejuangan aku bersama pelajar perlu diteruskan. Tanggungjawab mengajar murid yang lebih besar dan remaja memaksa aku mengaplikasikan ilmu psikologi yang aku pelajari di maktab dan universiti.

Setelah lapan tahun bertugas di sekolah tersohor aku mengambil keputusan untuk bertukar angin ke sekolah pinggir bandar. Aku mahu berbakti dengan murid-murid B40, yang lebih memerlukan khidmat aku. Kejayaan aku dalam kurikulum, kokurikulum dan HEM di SMK Tawau tidak ada yang berani menidakkannya. Sebut subjek BM STPM pasti disinonimkan dengan aku. Kejayaan meraih beberapa gelaran dalam sukan bola sepak dan bahas ala parlimen juga sering dikaitkan dengan nama aku. Budaya menanti kehadiran murid di pintu pagar yang aku mulakan pada tahun 2001 juga akhirnya bukan sahaja menjadi ikutan, tetapi menjadi ketetapan KPM (tetapi modus operandinya berbeza, aku menanti murid untuk memastikan semua murid berada dalam keadaan kemas sebelum memasuki kawasan sekolah). Akhirnya 2007 aku beralih ke SMK Jalan Apas. Espektasi yang tinggi dalam kalangan pelajar tingkatan enam dan tingkatan lima yang aku ajar menjadikan aku teruja dan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk mereka. Apatah lagi pada ketika itu aku adalah penanda kertas BM Kertas 2 SPM. Kehadiran aku di SMKJA umpama kecil tapak tangan nyiru murid-murid tadahkan.

Baru mengorak langkah untuk mencurahkan segala ilmu yang aku peroleh, aku mendapat tawaran untuk menjawat jawatan Ketua Unit Penilaian dan Peperiksaan PPD Tawau. Aku akur dengan surat arahan yang ditandatangani oleh Pengarah JPN Sabah pada tahun 2008. Tanpa temu duga aku diterima berkhidmat di PPD Tawau hanya dengan 'resume' perkhidmatan aku.

Khamis, 16 Februari 2023

 

Kembara Kerjaya: Aku Guru Kecil

Bahagian 1

Memulakan kerjaya perguruan seusia 23 tahun tidaklah terlalu muda. Berbekalkan keputusan Cemerlang yang diperoleh daripada maktab perguruan belum menjanjikan aku akan menjadi guru yang hebat, oleh itu aku lebih suka besikap ‘menyembunyikan kuku’ untuk memastikan aku boleh terus belajar. Apatah lagi mengajar di sekolah pedalaman pada tahun 1989 bukanlah impian kebanyakan guru. Jarak 80 km kampung kecil ini dengan rumah aku mungkin tidak terlalu jauh, namun keadaan jalanraya yang tidak elok memaksa aku untuk tinggal di perumahan guru di kawasan sekolah.

Pengalaman mengajar murid-murid sekolah rendah sangat menyeronokkan. Selain manja dan ceria, mereka juga senang dididik. Seperti mana teori Erikson, proses pembelajaran yang menyeronokkan ketika kanak-kanak pada usia/tahap ingin tahu dan perlu dikembangkan mengikut keupayaan masing-,asing (industry vs inferiority). Walaupun aku agak garang (maklum tahun pertama mengajar aku dilantik sebagai guru disiplin), namun murid masih sudi ke rumah aku, sesekali aku mengajak murid-muridku mandi sungai yang letaknya betul-betul di belakang sekolah. Sesekali berpeluang juga mandi di kolam syarikat dengan ikhsan dan kebenaran ibu bapa murid yang kebetulan pegawai yang bertanggungjawab menjaga dan menyelenggara kolam.

Menjadi guru hebat bukanlah sukar sangat. Guru kena mengajar dan mendidik, di samping melaksanakan tugas kurikulum, kokurikulum dan menjaga hal ehwal murid. Agak bertuah sebab di sekolah pertama aku banyak belajar daripada kawan-kawan, kami saling membantu dan belajar. Ilmu Pendidikan yang diajar oleh pensyarah-pensyarah hebat di Maktab Perguruan Sandakan Sabah (MPSS),  banyak membantu aku mengongsikan ilmu kepada anak didik. Tidak hairan jika laporan Jemah Nazir Zon Tawau terhadap pengajaran aku sangat positif pada tahun 1991. Walaupun Ketika dicerap aku mengajar subjek yang bukanlah opsyen aku, namun bimbingan daripada kawan-kawan sangat membantu aku memperbaiki kualiti pengajaran dari semasa ke semasa.

Persekitaran yang positif menjadikan niat untuk berhijrah ke sekolah kawasan bandar lebih awal tertangguh. Keakraban hubungan dengan komuniti di Brumas menjadikan aku jatuh cinta untuk terus berbakti di kawasan pedalaman ini. Jiran-jiran umpama keluarga sendiri, ahli masyarakat bagai saudara, menyebabkan tiada masalah yang tidak terurai, tiada polimik yang tidak terselesai. Namun hujan emas di negari orang hujan batu di negeri sendiri, seolah-olah tidak dapat dielak, perpindahan berlaku juga setelah genap lima tahun menabur bakti di SRK Brumas (sekarang SK Brumas).

Mengajar di kampung halaman sendiri adalah idaman hampir semua pendidik. November 1993, aku melengkapkan perpindahan di sekolah yang jaraknya hanya 100 meter dari pagar rumah arwah bapaku.  Dunia aku hanya sekolah, balik hanya untuk makan, mandi dan tidur. Hampir keseluruhan hidup aku berada di sekolah. Tidak pernah minta perhatian apatah lagi penghargaan. Namun keikhlasan aku tercabar dengan karenah pengurusan yang menyeleweng. Aduan yang dihantar kepada KPPM diambil tindakan dan menyebabkan arahan pertukaran dilaksanakan, terhadap individu bertanggungjawab. Namun ekoran itu rasa tidak puas hati Majlis Guru Besar memaksa semua yang terlibat dengan aduan kepada KPPM itu ditukarkan, aku adalah salah seorang mangsa yang dipindahkan ke sekolah ketiga dalam perkhidmatan. Walaupun pasrah tetapi bahang ketidakadilan tetap terasa hingga ke hari ini.

Terkesan dengan ketidakadilan yang dikenakan, aku pasrah untuk melangkah keluar daripada sekolah yang letak di sebelah rumah arwah bapa aku. kesan teraniya itu masih terasa hingga ke hari ini. Allah itu adil, Ketika nikmat diambil, dalam masa sama ada sesuatu yang diberikan. Setelah gagal untuk mendapatkan biasiswa negeri untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, tawaran universiti tempatan datang tepat pada masanya. Julai 1996 hingga oktober 1998 aku bergelar mahasitua di Universiti Putra Malaysia.

bersambung...

Jumaat, 10 Februari 2023

 Hidup pesara


Pabila kita bersara

Kurangkanlah bersuara

Sebab suara kita sudah tidak berharga


Pabila sudah bersara

Berhentilah marah-marah

Sebab tiada yang sanggup mendengarnya


Pabila kita sudah bersara

Tenang-tenaglah menghirup udara

Sebab hidup kita sudah sampai di menara


Pabila kita sdh bersara

Rajinlah berziarah sanak saudara

Pergilah berjumpa rakan-rakan semua

Sebab kita boleh bercanda mesra


Pabila kita sdh bersara

Ziarahlah rumah Allah

Sebab kita sudah hampir kepada-Nya


Pabila sudah bersara

Baru kita sedar dunia hanya sementara

Sebab pangkat dan gelaran sementara Cuma

Tiada yang peduli

Semuanya pinjaman saja

Kita sebenarnya tidak punya apa-apa di dunia…


Jun 2022

Rabu, 1 Jun 2022

 

Aku hanya anak seorang tukang sapu

 

Berdiri memimpin, menentu hala tuju

Bersuara, membangun anak bangsa

Tanpa prajudies

Kata-kata didamba

 

Dulu..

duduk di belakang menguis sisa ilmu

catatan pena usang

Tika datang tanpa diundang

Hadir tidak mengoncang

Hilang tidak dicari

Meski aku serupa yang lain

 

 

Penat tidak mengenal lelah

Ruang kosong diisi penuh

Lolos juga satu kejutan

Sebab aku hanya anak seorang tukang sapu

 

Bandura bukan kiblat

Sebab kebahagian hanya sementara

Usaha dan doa tukang sapu bini laki

jaya digenggam tanpa culas

Meski badai kau tongkah, onak duri  direntas

Sebab….

Aku anak seorang tukang sapu

 

Akhirnya

Ikhlas kucari

Seribu kehendak diredah

Kemelut jiwa memaksa berhijrah mencari sang saka

Kulepas timba yg kujinjing mengejar reda di perguruan

 

Kutimba ilmu semaunya tanpa hela

Ku langgar

Ku redah semua yang di hadapan

Melintang patah membujur ku berlalu

Patah sayap ku tongkatkan bahu…

 

Usahaku bukan kepalang

Doaku bergantang-gantang

Tiada yang sanggup menghalang

Sebab aku mau cemerlang

 

Kugapai bintang walau di luar kemampuan

Kugenggam erat gunung tanda pencapaian

 

Bukan kepalang bukan alang-alang

Bakti di pedalaman pemula perjalanan

Berjaya berdikari ku pulang kepangkuan

Walau sekejap natijahnya mantap

Dibuangku di pinggir bandar sebab aku pelanggar kepada pendustaan

Perjuanggan anak bangsa dan watan jadi impian

 

‘aku panjat menara’

Bukan untuk menjatuhkan…

Tapi untuk aku melihat lebih jauh

 

Mendidik watan yang matang lebih mencabar

Pujukan dan jentikan hati kian dalam

Kepuasan melahirkan insan walau kadang menyongsong

 

Ingin ku berlari daripada bayang-bayang pengurusan

Tapi aku terperangkap di jabatan

Minatku kepada pengajaran mengheretku ke Jemaah Nazir

Menimba ilmu dan perkongsian sempurna

Kepuasan membina mudaris penggalak pendidikan

 

Hari ni aku berhenti berkongsi sebab aku sudah lama berkayuh

Kawan-kawan teruskan perjuangan walau banyak tomahan

Sebab kita bukan kerja untuk manusia

Walau memanusiakan manusia itu matlamat kita…

 

Aku puas walau aku tidak kaya

Aku gembira walau aku hanya seorang manusia biasa…

Semoga kuburku cerah berkat doa semua…

Aku undur sementara meniti usia sebelum ke alam abadi.

 

Aku anak seorang tukang sapu…

 

April 2022

Jumaat, 30 Julai 2021

 

KONSEP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DALAM KONTEKS

PEMBELAJARAN MODULAR MATA PELAJARAN BAHASA MELAYU

 

Disediakan oleh: Junadi @ Junaidi bin Riman

Jemaah Nazir Cawangan Tawau

 

 

1.0 Latar belakang


Kepelbagaian dasar yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sering kali disalah tafsir oleh warga pendidik. Konsep Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc), Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21), Kemahiran Berfikir ArasTinggi (KBAT) serta Pembelajaran Modular yang mewarnai sistem pendidikan sekarang sebenarnya sesuatu yang menarik dan indah. Namun kecairan maklumat menyebabkan guru kurang faham konsep sebenar dasar dan program Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Oleh itu, proses memberi ilmu tidak dapat difahami sepenuhnya oleh warga pendidik. Semua elemen tersebut di atas dilihat secara terpisah oleh guru-guru, mungkin disebabkan elemen ini dikendalikan oleh bahagian dan kelompok yang berbeza. Ketidakfahaman ini menyebabkan timbul tanggapan elemen-elemen ‘baharu’ tersebut menambah beban tugas guru.

 

2.0 Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)

Pengajaran merupakan aktiviti yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan yang meliputi aktiviti perancangan, pengelolaan, penyampaian, bimbingan dan penilaian. Slavin (2005) mendefinisikan pembelajaran sebagai perubahan dalam seseorang individu akibat daripada pengalaman. Manusia mula belajar sejak ia dilahirkan dan semua pembelajaran ini berkait rapat dengan pengalaman. 

Pembelajaran adalah proses atau kegiatan belajar yang berlaku dalam pelbagai bentuk. Pembelajaran melibatkan pemerolehan dan pengubahsuaian pengetahuan, kemahiran, strategi, kepercayaan dan tingkah laku. Pembelajaran juga merupakan perubahan tingkah laku atau kebolehan untuk menunjukkan perlakuan yang dikehendaki hasil daripada latihan ataupun pelbagai bentuk pengalaman.

Oleh itu, PdP adalah proses pembelajaran murid yang dirancang oleh guru untuk memastikan kemahiran mata pelajaran disampaikan dengan pelbagai kaedah, untuk mengubah tingkah laku murid hasil daripada latihan dan pelbagai bentuk pengalaman yang dilalui. Ringkasnya, pengajaran merupakan proses untuk menyampai dan menyumbang idea-idea serta memudah cara pembinaan ilmu, menentukan standard dan menggalakkan kreativiti, membantu  pelajar untuk belajar dan mencabar pelajar ke arah pencapaian potensi optimum. Sehubungan itu, PdP merupakan lingkaran luar yang menjadi asas kepada semua elemen pembelajaran.

 

3.0 Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc)

Pengajaran dan pemudahcaraan (PdPC) merujuk kepada peranan guru ketika melaksanakan pengajaran yang telah dirancang berdasarkan sukatan pelajaran tertentu, menggunakan pelbagai kaedah yang dipilih dan bersesuaian dengan keupayaan murid. Keupayaan guru memainkan peranan untuk menarik minat murid mengikuti pembelajaran dengan menggunakan pelbagai kaedah yang menarik seterusnya dapat merangsang minat murid. Guru berperanan sebagai pemudah cara dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang berkesan untuk memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh dan pencapaian murid pada tahap optimum secara berterusan.

            Oleh itu, PdPc, terletak dalam lingkaran kedua selepas PdP untuk menggambarkan  peranan yang dimainkan oleh guru sangat besar bagi memastikan proses PdP berjaya membantu murid menguasai kemahiran yang diajar.

 

4.0 Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)

Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) adalah proses mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid sama ada secara formatif atau sumartif (2019), menggunakan tiga medium penilaian dalam PBD, iaitu Lisan, Tulisan dan Pemerhatian. PBD melibatkan proses mengumpul dan menganalisis maklumat serta membuat refleksi yang berterusan terhadap PdP dalam membuat pertimbangan secara konsisten ke arah menambah baik PdP tersebut (2013). Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan pentaksiran yang berterusan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid. Guru adalah individu yang bertanggungjawab melaksanakan PBD seterusnya mendapatkan data tahap penguasaan murid. Berkesan atau tidak proses PdP bergantung sejauh mana guru berupaya melaksanakan peranannya sebagai pakar rujuk dan pembimbing. Oleh itu, PBD adalah elemen penting untuk memastikan murid menguasai dan memahami kemahiran yang diajar oleh murid.

 

5.0 Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21)

Proses pembelajaran murid yang berasaskan kepada lima elemen, iaitu Komunikasi, kolaborasi, pemikiran Kritis, Kreativiti dan Nilai Murni dan Etika (4k + 1N).


Pembelajaran ini menekankan PdP yang berpusatkan murid dengan menggunakan pelbagai kaedah pembelajaran untuk mengembangkan kompetensi dan kemahiran murid (2012).

PAK21 bukan sahaja berkaitan dengan penyediaan ruang fizikal kepada pembelajaran murid, tetapi jauh lebih penting bagaimana 4K digarap dan diadun dalam proses pembelajaran murid yang diselitkan nilai dan etika dalam setiap elemen. Contohnya cara murid dapat berkomunikasi dengan nilai dan etika yang betul, berkolaborasi dengan nilai dan etika yag baik, berfikiran kritis yang selaras dengan nilai dan etika Malaysia serta murid dapat menghasilkan kerja yang kreatif sesuai dengan nilai dan etika serta budaya Malaysia. Mengapa PAK21 berada dalam lingkaran (kawalan) PBD? Empat unsur (Komunikasi, Kolaborasi, Pemikiran Kritis dan Kreativiti) dalam PAK21 menjadi asas kepada pembelajaran berpusatkan murid. Guru dapat melaksanakan pentaksiran ketika murid menjalankan aktiviti (pemerhatian), berkomunikasi, berkolaborasi, berfikir secara kitis dan menghasilkan tugasan atau menjawab soalan menggunakan kreativiti masing-masing (lisan dan tulisan).

 

6.0 Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) ialah keupayaan murid untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu (2014).  Hal inilah yang sebenarnya menjadi matlamat PdP. Adalah menjadi harapan KPM agar murid berupaya menguasai KBAT melalui proses PdP yang berkesan, dengan peranan yang dimainkan oleh guru, hasil PBD yang dilaksanakan melalui PAK21 yang dirancang dan dilaksanakan.

KBAT menyediakan ruang. untuk murid mencapai ‘profil murid’ mengikut keupayaan masing-masing. Objektif utama pembelajaran adalah penguasaan murid terhadap kemahiran yang diajar. Oleh sebab itu KBAT menjadi elemen yang perlu dikuasai oleh semua murid untuk memastikan keberjayaan satu proses PdP. Kegagalan murid mencapai dan menguasai KBAT dalam pembelajaran memungkinkan mereka tidak berjaya menguasai semua kemahiran yang disampaikan oleh guru. Oleh itu, objektif tidak akan tercapai dan melambatkan proses perkembangan murid.

7.0  Pembelajaran Modular (PM)

Pembelajaran Modular adalah pembelajaran yang berasaskan penyampaian kurikulum secara fleksibel. Secara ringkasnya modular membawa maksud suatu kemahiran yang dipecahkan kepada beberapa topik kecil bagi memudahkan penyampaian guru dan pemahaman murid. Pelaksanaan kurikulum modular ini berasaskan empat prinsip iaitu berpusatkan murid, kesepaduan, linear / tak linear dan fleksibel. Pelaksanaan kurikulum modular ini, dapat memberi ruang kepada para pendidik untuk membuat penyesuaian dalam penyampaian isi pembelajaran kepada kumpulan sasar. Dalam pembelajaran modular, guru merupakan fasilitator kepada pelajar semasa sesi pembelajaran berbanding pembelajaran tradisional, yang menyampaikan ilmu pengetahuan (2016). Pelaksanaan PM dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) adalah melalui lima Modul yang mengandungi tiga kemahiran dan dua aspek, iaitu Modul Dengar dan Tutur, Modul Bacaan, Modul Tulisan, Modul Seni Bahasa dan Modul Tatabahasa. Pembelajaran modular merupakan satu strategi baharu untuk mengatur pengalaman pembelajaran dalam pendidikan dan kini strategi pembelajaran berasaskan modular diguna pakai dalam semua tahap pembelajaran (2005).

Pembelajaran Modular BM juga mengamalkan konsep pengajaran kemahiran berfokus yang menjadi kemahiran utama untuk diajar. Pada masa yang sama kemahiran sampingan juga diajar untuk mewujudkan pembelajaran yang bervariasi bagi memastikan pembelajaran BM mencapai matlamat mata pelajaran. Pembelajaran Modular BM juga selari dengan lima strategi pembelajaran: Pengabungjalinan, Penyerapan, Penilaian, Pengayaan dan pemulihan. Kepelbagaian isi dan bentuk pelajaran yang diajar juga merupakan salah satu strategi pengajaran yang harus diketahui oleh guru (1985). Oleh itu kreativiti guru dituntut untuk memastikan PdP sentiasa menyeronokkan dan menarik minat murid.

8.0  Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR)

Penyerapan PKJR dalam PdP mata pelajaran BM adalah berdasarkan objektif untuk meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan membudayakan keselamatan jalan raya dalam kalangan murid. PKJR juga mengaplikasikan ilmu keselamatan jalan raya berdasarkan modul PKJR dalam PdPc Bahasa Melayu secara optimum, serta melahirkan murid yang mahir menyerapkan ilmu keselamatan jalan raya.

Pendidikan ini diwujudkan berdasarkan punca kuasa Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 10/2009, SSKPMSP 600-5/2/31 jln.2(94).  Menyarankan agar pembelajaran PKJR dilaksanakan selama 2 jam (SR), 1 jam (SM) pada setiap bulan: satu jam dalam dua minggu terpilih yang dilaksanakna secara berselang minggu. Kreativiti guru dituntut untuk mengajar secara serapan mengikut kesesuaian Sukatan Pelajaran BM dan kemahiran PKJR.

Pengaplikasian dan pembudayaan keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat menjadi matlamat PKJR dalam jangka panjang. Oleh itu, pihak sekolah digalakkan untuk menyediakan suasana pembelajaran PKJR di sekolah untuk memastikan murid melalui proses pengalamian ketika belajar atau di luar waktu pembelajaran.

 

9.0  Pendidikan Sivik

Pengajaran Pendidikan Sivik dijalankan di sekolah berdasarkan punca kuasa Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 7 Tahun 2019: Pelaksanaan Pendidikan Sivik di Peringkat Prasekolah, Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah. Dilaksanakan secara menyisipkan  kemahiran Sivik dalam PdP mata pelajaran BM. Dijalankan secara bersepadu, holistik dan menyeluruh melalui pelbagai cara, untuk mendorong murid ke arah pembentukan perwatakan yang memiliki pemikiran sivik dan mengetahui hak serta tanggungjawab sebagai warganegara dalam memberi sumbangan kepada masyarakat, negara dan global. Pendidikan Sivik dilaksanakan dalam tempoh Satu jam dalam sebulan dan dicadangkan pada minggu ke-4. Terdapat empat nilai dalam Pendidikan Sivik, iaitu Kasih Sayang, Hormat-menghormati, Bertangggungjawab dan Kegembiraan, yang perlu disisipkan ketika PdP mata pelajaran Bm dilaksanakan. Pendidikan Sivik bertujuan untuk memberikan murid pengetahuan dan memberikan pengalaman sivik kepada murid. Di samping itu, Pendidikan Sivik juga diharap dapat membantu murid mengaplikasikan pemikiran dan mengamalkan sivik dalam kehidupan seharian.

            Walaupun bersifat sisipan dan hanya diajar dalam tempoh sebulan sekali, namun matlamat pembelajaran sivik adalah untuk menyediakan warganegara yang seimbang sesuai dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Adalah menjadi harapan agar kita memiliki wagranegara yang seimbang, cemerlang dunia dan akhirat.

 

10.0 Kesimpulan

Pengajaran yang dirancang dengan baik akan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Penggunaan pelbagai kaedah, teknik dan pendekatan dalam PdP akan memudahkan guru memainkan peranan sebagai pakar rujuk dan pemudah cara. Perancangan yang rapi akan menjadikan proses PdP lebih menarik dan memikat minat murid untuk mengikuti dan melibatkan diri dalam pembelajaran. Matlmat PdP adalah untuk memastikan murid mencapai objektif pengajaran. Objektif pengajaran hanya akan dicapai andai guru dapat memainkan peranan yang baik sepanjang proses PdP. Kebijaksanaan guru membuat penilaian dan pentaksiran dengan mengamalkan pembelajaran PAK21 adalah kunci kepada keupayaan murid menguasai KBAT, seterusnya mencapai objektif pembelajaran yang selari dengan Aspirasi Murid dalam PPPM (2012). Oleh itu perkaitan antara lima elemen dalam pelaksanaan PdP sangat penting untuk dikuasai oleh guru. Kelima-lima elemen ini hendaklah dilihat secara sekali dan tidak boleh dipisah-pisahkan.

            Pembelajaran Modular sewajarnya dilihat sebagai kesinambungan kepada konsep PdP secara keseluruhan. Pembelajaran Modular mata pelajaran BM merupakan antara proses yang paling padat dan sarat dengan pelbagai eleman. Namun kefahaman dan kebijaksaan guru mengadun PdP akan menjadikan pengajaran BM menarik dan menyeronokkan. Hal ini pastinya membantu murid menguasai kemahiran yang disampaikan guru, seterusnya melahirkan insan seimbang, selaras dengan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025, selaras dengan FPK untuk melahirkan insan seimbang.

 

Rujukan

1.      _______  (2012). Dokumen Standard, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kuala Lumpur: Bahagian Pengurusan Kurikulum. KPM

2.      _______(2014).Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) Aplikasi di Sekolah. Kuala Lumpur: Bahagian pembangunan kurikulum. KPM,

3.      _______(2013).Pentaksiran KBAT. Kuala Lumpur: KPM

4.      _______ (2019).Panduan Pelaksanaan PentaksiranBilik Darjah Edisi ke-2. Kuala Lumpur:Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM

5.      Awang Sariyan. (1995). Ceritera Bahasa., Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, KPM

6.      Eliza Khamis & Nor Aishah Buang. 2016. Keberkesanan Strategi Pembelajaran Berasaskan Modular Terhadap Pencapaian dan Sikap Pelajar Tingkatan 4 Bagi Mata Pelajaran Perdagangan. Selangor:UKM.

7.      Eow Yee Leng. (2017). Penerapan Kemahiran 4C dan Pembudayaan Amalan PAK21 dalam Pembelajaran dan Pemudahcaraan Matematik Tingkatan 1.

8.      Jamal Badi dan Mustapa Tajdin. (2005). Creative Thinking: An Islamic Perspective. Kuala Lumpur: Research Center, IIUM.

9.      Kamarudin Hj. Husin.(1995).Perkaedahan Mengajar Bahasa. Kuala Lumpur. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

10.  Riasat Ali. (2005). Development And Effectiveness Of Modular Teaching In Biology At Secondary Level. Universiti Of Arid Agriculture Rawalpindi, Pakistan.

 

 

Selasa, 22 Jun 2021

Aku, keluarga dan COVID19...

 Hari ini 19 Jun 2021, genap sebulan aku dan keluarga disahkan positif COVID19, 15 hari selepas tarikh hari ini aku ‘discharge’ dari Hospital Besar Tawau (HBT) selepas disahkan selamat untuk keluar dan menjalani proses pemulihan, penyembuhan serta pengasingan COVID19.

Rasa terpilih oleh Allah untuk mengalami pengalaman ini, justeru aku kongsi bersama untuk tatapan, dan mungkin boleh dijadikan panduan.
Aku, isteri dan anak disahkan positif C19 Tahap 4, setelah pergi sendiri ke HBT, selepas mengalami gejala seperti demam, hilang deria bau dan rasa. 12 hari bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan bukanlah perkara yang menyeronokkan. Tidur bertiarap untuk memulihkan pernafasan adalah antara perkara yang kurang 'enak' tetapi mesti dilakukan untuk proses pemulihan terutamanya ketika di ICU.

Berada dalam wad C19 mengisafkan aku melihat pengorbanan kakitangan KKM yang berjuang membantu pesakit C19 seperti aku. Mereka kerja lebih daripada 12 jam, jam 2 hingga 3 pagi masih ada doktor merawat aku, ketika orang lain nyenyak tidur. Terima kasih ‘frontliners’.
Terima kasih kepada semua sanak saudara, Ketua Jabatan, sahabat, kenalan, murid-murid dan semua yang mendoakan kesembuhan, kami sekeluarga, jasa tuan/puan hanya Allah yang dapat membalasnya.
Sesungguhnya COVID19 itu benar, yang mengalaminya pada Tahap 1 dan 2 mungkin boleh mengatakannya seperti percutian di pusat kurantin, tetapi pengalaman berbeza kepada pesakit Tahap 3 hingga 5 yang lebih tersiksa dan membuatkan kakitangan KKM lebih sibuk.
Alhamdulillah hari ini, aku dan keluarga sudah berada di rumah, menjalani pemulihan dan penyembuhan mengikut nasihat doktor.
Semoga selepas ini tiada lagi orang yang memandang sinis dengan COVID19, hargai ‘frontliners’ kita, mereka juga ada keluarga macam kita… patuhi SOP untuk kemaslahatan bersama.

Insya-Allah…

Ayok kita bervaksin…

Khamis, 24 September 2020


Bermusim.. 


kutip daun kering

letak dalam pasu

simpan sampai reput

cantik buat antakesuma

Gegak gempita guruh berduyun

Hampar latisan jadi jejantas

Senyum madu mengukir nista

Mana intan entahkan kaca  

Mata dikabur

Telinga ditutup

Kertas dipangkah tiada terhitung

Bala mengiring menutup hujah

Tergadai maruah 

Agama kau langkah


Janji tertunai hamba meminta

Kampong diusung terbiar negeri

Anak watan disorong umpan menteri 


Janji ditabur, 

Suaraku hambar tiada lolong

Sahut kokok belum tertunai

Tanah seberang disuluh

Umpan tanah di balik bukit


Pulau timbul di kala senja

Warna pelangi indah rasa

Selesai hujan tiada tanda

Mimpi hilang tinggal kenangan

Hampa mendatang

Tiada sudah

Nasi sudah menjadi bubur

Guruh tidak membawa hujan

Elok tsunami banding taufan

Marhean balik mencari nasi 

Keluarga terbiar mengejar harapan

Musim pergi YB berganti

Aku umpama sebelum dijanji

Kekal berkayuh mencari rezeki 

Tatkala YB mengangkat sumpah

Aku melopong kurang mengopi

Sahabat hilang bercanggah idea

Tunggulah pulak kempen menjelang

Sebab aku pengikut setia…

Apaku ada semua yang terupaya..

Aku hanya rakyat biasa

Mendengar janji diucap, sang pendusta…


JR6

24/9/2020

Selasa, 13 Mac 2018

Konsep PAK21

" Proses pembelajaran yang berpusatkan murid berteraskan elemen komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis, dan kreativiti serta aplikasi nilai murni dan etika"


Konsep KBAT


" Keupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu"
PdP dilihat secara 'bersekali' untuk memudahkan kita memahami konsepnya. Dengan cara ini juga kita dapat melaksanakan PdP dengan berjaya kerana memuatkan semua elemen yang diperkenalkan oleh Bahagian-bahagian tertentu dalam KPM. Umumnya kesemua ini terkandung dengan jelas dalam Standard 4 SKPMg2.

Selasa, 6 Februari 2018

SKPMg2 dalam Pendidikan

Secara ringkas, pendemokrasian SKPMg2 adalah untuk memastikan warga sekolah memahami dan terlibat dalam mengoperasikan sekolah.

SKPMg2 adalah instrumenn untuk mengoperasikan sekoah bukan semata-mata untuk memberi skor.

Isnin, 4 Mac 2013


Tanduo yang kukenali

Disebut namamu
Saban waktu saban hari
Tanpa mengenal genarasi
Di ruang tamu, kamar  tidur hingga di kedai kopi
Di parlimen dan di ruang Menteri

Tanduo yang kukenali,
Kampong nelayan di pinggir pantai menghadap laut yang penuh mesteri
Anak-anak yang dulu riang bakal pewaris generasi
Kini fobia menangisi situasi

Tanduo yang kukenali
Perwira tersungkur mempertahan ibu pertiwi
Dek kerakusan pengejar dinasti yang belum pasti

Tanduo yang kukenali
Tidak pasti
Keharmonian akan kembali
Selagi si serakah pengejar bayang-bayang ilusi
Konon pemerintah negeri
Dalam perjanjian yang tersembunyi
Tanpa realiti
Penghambat demokrasi
Mengundang pelbagai spekulasi

Tanduo yang kukenali
Disebut namamu hingga hujung dunia
Setiap komuniti mengetahui situasi

Doakan yang terbaik untuk negaraku yang aman dan harmoni


Junadi @ Junaidi Riman
4/3/2013 (5.10 subuh)

Ahad, 9 Disember 2012

Kepada semua guru, selamat menyiapkan RPT untuk Tahun 2013. 

Rabu, 16 Februari 2011

Matlamat Pengajaran Bahasa Melayu di Sekolah

Sedarkah kita sebagai seorang Guru Bahasa Melayu kita perlu tahu matlamat dan objektif p&p subjek yang kita ajar?.

Matlamat Pembelajaran dan Pengajaran subjek Bahasa Melayu Sekolah Rendah:

Matlamat kurikulum Bahasa Melayu sekolah rendah adalah untuk melengkapkan murid dengan ketrampilan berbahasa dan berkomunikasi untuk memenuhi keperluan ini untuk memperoleh ilmu, perhubungan sosial dan urusan harian.

Matlamat Pembelajaran dan Pengajaran subjek Bahasa Melayu Sekolah Menengah:

Matlamat kurikulum Bahasa Melayu sekolah menengah adalah untuk melengkapkan murid dengan ketrampilan berbahasa dan berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan urusan harian

Pekeliling

Pekeliling